The New Village: FINAS lepas tangan. HARAP-HARAP TAK DITAYANGKAN LAH ! !



Tarikh baru tayangan filem Astro Shaw ditentukan selepas LPF buat penilaian semula

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyerahkan kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk semakan semula filem kontroversi, The New Village, seperti diarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan dakwaan wujudnya elemen mengagungkan komunis dalam naskhah terbabit, sebelum menetapkan tarikh tayangan baru.
Ketua Pengarahnya, Raja Rozaimie Dalnish Shah, berkata pihaknya hanya bertanggungjawab memberikan tarikh tayangan berdasarkan giliran dan kekosongan tempat selepas LPF mengeluarkan Sijil Perakuan A iaitu kebenaran tayangan.
“LPF yang akan menilai semula filem itu. Kami (FINAS), sejak peringkat awal pembikinan filem ini sudah mengikuti prosedur lengkap dengan mengeluarkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan kemudian, sebaik LPF memberi kelulusan, kami tetapkan pula tarikh Wajib Tayang.
“Soal lambat atau cepat sesuatu filem itu berada di pawagam, ia bergantung kepada kekosongan. Walaupun ada penerbit meminta filem mereka ditayang pada tarikh tertentu, FINAS tetap melihat kepada giliran atau kekosongan masa,” katanya ketika dihubungi HIP, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan KDN supaya menangguh penayangan filem terbitan Astro Shaw itu, yang sepatutnya pada 22 Ogos ini, berikutan bantahan pelbagai pihak kerana ia didakwa memaparkan propaganda komunis.
Mesej tersembunyi
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan penelitian semula dilakukan untuk menilai sama ada ia mengandungi plot atau mesej tersembunyi.
Ditanya sama ada jawatankuasa skim wajib tayang di bawah FINAS sudah menonton filem berlatarkan era Tanah Melayu sekitar 1949 itu, akui Raja Rozaimie, prosedur berkenaan memang diikuti sebelum memberikan tarikh tayangan, namun enggan mengulas lanjut.
Bagaimanapun, dia mengakui, sebelum mengeluarkan SPP, syarikat produksi perlu memenuhi syarat Padu Citra selain menghantar dokumen berkaitan termasuk skrip serta senarai pelakon kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Pelesenan FINAS.
The New Village berkisar percintaan dua darjat, iaitu antara seorang komunis yang jatuh cinta kepada gadis kampung. Bagaimanapun, hubungan mereka berdepan cabaran disebabkan ketegangan Tanah Melayu ketika itu, yang diisytihar darurat berikutan peperangan antara tentera British dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Antara paparan sutradara Wong Kew Lit adalah gerakan Malayan People Anti’s-Japanese Army (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan, trailernya pula seolah-olah menunjukkan Tanah Melayu asalnya milik bangsa Cina, selain dialog yang boleh menyentuh sensitiviti penduduk Melayu di negara ini.
Semak semula kandungan
Selain Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Seniman (SENIMAN) juga membantah tayangan filem terbabit, yang dilihat membawa ideologi komunis, sekali gus cuba merosakkan perpaduan kaum.
Menerusi kenyataan media yang dikongsi di laman Facebook rasmi persatuan itu, mereka bekerjasama dengan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan (GAFIM) mengadakan bantahan supaya penilaian semula terhadap kandungan filem itu dilakukan secara terperinci, sebelum mendapat kebenaran untuk dipaparkan kepada umum.
“Kami berharap semua penggiat seni membantah pengisian sensitif di dalam filem ini yang seakan mengubah fakta sejarah Malaysia. Jika tidak diselia, ia boleh menjadi alat provokasi apatah lagi tayangannya menghampiri sambutan Hari Kemerdekaan negara,” kata kenyataan terbabit.
Sementara itu, Penerbit Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) / Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai, selaku produser The New Village yang pada awalnya tidak menjawab panggilan HIP kemudian menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada jam 4 petang, memaklumkan dirinya masih di bilik mesyuarat.
“Saya minta maaf sebab tidak dapat menjawab panggilan. Saya masih bermesyuarat. Nanti saya akan hubungi anda semula,” katanya yang difahamkan terbabit dalam perbincangan berhubung nasib filem terbabit sejak pagi.


Written by

0 Comments: